PARTI penaja Muda menggesa kerajaan segera menyalurkan bantuan kewangan dan kebajikan serta merta kepada golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia perlu meliputi golongan pekerja yang hilang pekerjaan dan juga majikan yang terjejas akibat pelaksanaan berperingkat itu, kata parti penaja tersebut dalam satu kenyataan.
Antara lain, Muda menggesa bantuan perlindungan moratorium menyeluruh bermula hujung Januari.
Selain itu, ia turut menggesa agar sesi Parlimen khusus diadakan dan jawatankuasa khas dibentuk melibatkan pelbagai parti bagi memastikan semak imbang ke atas tindakan kerajaan.
Sesi Parlimen digantung dengan perisytiharan darurat berkuatkuasa semalam hingga 1 Ogos, yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pagi ini.
Semua pilihan raya juga ditangguhkan dengan perisytiharan darurat itu, kata Muhyiddin yang kini berdepan krisis sokongan.
Mengulas lanjut, Muda menegaskan menolak perisytiharan darurat tersebut kerana dibimbangi akan menyebabkan kerajaan mendapat kuasa yang terlalu besar tanpa semak imbang yang jelas.
“Kerangka dan proses demokratik adalah pendekatan yang terbaik untuk sebuah kerajaan yang berlandaskan wakil rakyat dalam menghadapi suasana pandemik.
“Pelaksanaan darurat dalam bentuk yang dijelaskan perdana menteri termasuk pengantungan Parlimen tidak akan membantu kepada usaha menangani kes (Covid-19) ...”
Sebaliknya, langkah itu akan melemahkan lagi pentadbiran kerajaan dan meningkatkan keresahan di kalangan rakyat, kata jawatankuasa penaja parti Muda. – 12 Januari, 2021.
Komen