MALAYSIA hari ini merekodkan 3,309 kes jangkitan baharu Covid-19, sehari sebelum pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dia minggu melibatkan enam negeri yang mencatat kes tertinggi.
Jumlah jangkitan baharu itu melepasi kes tertinggi sebelum ini iaitu 3,207 pada 7 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 3,303 adalah penularan tempatan dan enam kes import.
Selangor sekali lagi merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 1,007 kes, diikuti Johor dengan 442 kes dan Sabah 409 kes.
Empat kematian turut dilaporkan hari ini menjadikan angka kematian keseluruhan 559 daripada jumlah keseluruhan kes 141,533.
Daripada jumlah itu, 30,390 adalah kes aktif.
Noor Hisham berkata 825 atau 81.9% kes di Selangor dilaporkan dari kluster dan pengesanan kontak rapat.
Beliau juga berkata 439 kes dilaporkan hari ini adalah dari kluster berkaitan dengan lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara.
Sementara itu dua kes kematian hari ini dilaporkan masing-masing di Selangor dan Perak.
Tiga daripada empat mangsa mempunyai sejarah penyakit kronik.
Daripada 30,390 kes aktif, 190 dimasukkan ke ICU dan 83 memerlukan alat bantuan pernafasan.– 12 Januari, 2021.

Komen