KKM perlukan pekerja kontrak jangka pendek untuk perangi Covid-19


Pekerja kesihatan semakin kehabisan tenaga ketika jumlah pesakit terus meningkat dan selepas bertugas di barisan hadapan selama hampir setahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih mencari kakitangan kontrak jangka pendek untuk mengisi pelbagai jawatan bagi meneruskan perjuangan melawan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kami menawarkan kontrak jangka pendek untuk lebih banyak kakitangan bagi lebih seribu jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kementerian sebelum ini menyeru sukarelawan, termasuk pengamal perubatan dari sektor swasta dan pesara, untuk berkhidmat sementara dalam sektor kesihatan awam.

Kali terakhir panggilan tersebut dibuat adalah pada Oktober, apabila ia berkata memerlukan sukarelawan termasuk doktor perubatan, pegawai sains mikrobiologi, pegawai dan pembantu kesihatan alam sekitar, jururawat, pembantu pegawai perubatan, juruteknik makmal, radiografi dan pembantu kesihatan awam.

Difahamkan, pekerja kesihatan semakin keletihan ketika jumlah pesakit terus meningkat dan selepas berkhidmat di barisan hadapan selama hampir setahun.

Beberapa hospital juga menghadapi masalah tenaga kerja kerana kakitangan dikerahkan ke pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye baru-baru ini dilaporkan berkata kementerian boleh mengambil 10,000 anak muda bekerja dalam jangka pendek untuk membantu bagi pengesanan kontak. 

“Terdapat begitu banyak lulusan universiti yang menganggur, kakitangan kesihatan kontrak dan lulusan perubatan, kejururawatan dan farmasi,” katanya. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen