PENGUSAHA hotel mendesak kerajaan meluaskan struktur subsidi gaji agar merangkumi lebih banyak pekerja, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua.
“Berdasarkan pelaksanaan PKP, perniagaan sekali lagi dijangka kehilangan semua aliran pendapatan, terutama industri pelancongan apabila semua perjalanan rentas negeri disekat.
“Kerajaan perlu menyokong industri dan pekerjanya, dengan sedikit atau tiada pendapatan, perniagaan tidak akan dapat mempertahankan pekerjanya, tidak akan dapat membayar gaji tanpa pilihan selain memberhentikan pekerjanya,” kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) susulan respons terhadap PKP kedua yang akan dikuatkuasakan bermula 13 hingga 26 Januari.
Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata, kerajaan harus memperluaskan struktur subsidi gaji bagi membantu pengusaha hotel mengelakkan pemberhentian pekerja.
“Kami mendesak kerajaan memperluaskan struktur subsidi gaji yang kami cadangkan sebanyak 50% untuk pekerja dengan gaji di bawah RM4,000 dan 30% untuk mereka dengan gaji di atas RM8,000.”
Sekurang-kurangnya 6% pekerja di sektor ini sudah berhenti dan kehilangan pekerjaan sejak tahun lalu, sementara selebihnya sama ada bercuti atau cuti tanpa gaji.
“Berbanding Mac 2020, kami berada dalam situasi lebih buruk sekarang dan menjangkakan kesan yang lebih besar,” katanya.
Program subsidi gaji semasa dalam versi keduanya adalah untuk majikan bagi semua pekerja tempatan yang berpendapatan RM4,000 sebulan atau kurang.
Ia pertama kali diumumkan pada Mac tahun lalu selama tiga bulan, kemudian dilanjutkan selama tiga bulan lagi pada September, dengan tempoh permohonan terbuka kepada majikan antara 1 Oktober hingga 31 Disember.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin awal hari ini mengumumkan PKP di enam negeri - Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dari 13 hingga 26 Januari.
Enam negeri lagi, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan berada di bawah PKP bersyarat dan Perlis serta Sarawak di bawah PKP pemulihan. – 11 Januari, 2021.
Komen