PUTRAJAYA tidak perlu melaksanakan darurat sebagai untuk mengawal Covid-19 kerana ia hanya akan dilihat sebagai langkah politik, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Dalam catatan di Facebook, ahli Parlimen Pekan itu berkata jika dakwaan memperkenalkan darurat itu benar, rakyat mempunyai persepsi kerajaan hanya ingin terus berkuasa.
“Jika laporan media betul bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sekali lagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta darurat dengan alasan mahu melawan Covid-19 maka saya percaya keputusan ini adalah berasaskan politik dan bukan untuk melawan Covid-19.”
“Apa lagi yang tak cukup untuk lawan Covid masa PKP pertama itu?
“Seperti dibuktikan pada PKP pertama tahun lepas, undang-undang Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah cukup kuat untuk segala kerja mengawal Covid-19 tanpa pengisytiharan darurat dan menggantungkan Parlimen.”
“Jika ia benar bahawa permintaan darurat dibuat sekali lagi maka lagi ramai rakyat yang akan membina persepsi bahawa kerajaan hari hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik mereka dan bukan atas kepentingan rakyat.”
“Sebab itu, sekadar PKP 2.0 sudah memadai jika mahu dilaksanakan,” kata Najib.
Awal hari ini, The Star, daripada pelbagai sumber, melaporkan Kabinet membincangkan mencari pengisytiharan darurat kerana keadaan Covid-19 bertambah buruk di seluruh negara.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas petang ini mengenai langkah untuk membendung virus itu selepas ia mencatat kes harian sehingga angka 2,000. – 11 Januari, 2021.
Komen