BEKAS perdana menteri Najib Razak mengkritik menteri Kabinet kerana menghadiri mesyuarat dan majlis walaupun selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed didapati positif Covid-19 semalam.
Dalam catatan di Facebook, Najib berkata para menteri seharusnya menjalani kuarantin dan Kementerian Kesihatan seharusnya mengklasifikasikan mereka sebagai kontak rapat dengan Mustapa.
Ahli Parlimen Jeli itu positif selepas disaring semasa tiba di Kota Baru dari Kuala Lumpur pagi semalam.
“Tapi peliknya kenapa menteri-menteri Kabinet masih menghadiri program-program umum setelah Tok Pa disahkan positif tengah hari semalam.
“KKM sepatutnya sudah klasifikasikan mereka sebagai kontak rapat yang perlu dipantau dan diberi arahan kuarantin wajib memandangkan mereka pernah hadir sebilik dengan Tok Pa dalam mesyuarat jemaah menteri beberapa hari lalu.
“Kenapa pula Rina (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun) masih boleh hadir dua program semalam?” kata Najib.
Rina adalah menteri Kabinet terbaru positif Covid-19 selepas Mustapa mengesahkan beliau dijangkiti oleh koronavirus pada Sabtu lalu.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Rina berkata beliau dimasukkan ke hospital Sungai Buloh pagi ini.
Dua menteri yang dikenal sebagai kontak rapat Mustapa selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, kini menjalani kuarantin.
Mereka adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.
Kedua-duanya duduk di sebelah Mustapa semasa mesyuarat di Putrajaya. – 11 Januari, 2021.
Komen