2 menteri kuarantin selepas mesyuarat bersama Mustapa, kata laporan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19 semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021.

DUA menteri dari Bersatu kini menjalani kuarantin selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19 semalam, lapor The Star.

Menteri berkenaan, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, duduk di sebelah Mustapa semasa mesyuarat Kabinet pada 6 Januari lalu.

“Tiada sentuhan fizikal sepanjang mesyuarat Kabinet. Selain ada penjarakan fizikal, terdapat penghadang antara kami. Kami juga memakai pelitup muka.

“Bagaimanapun, selepas disahkan antara senarai kontak rapat, saya akan menjalani ujian saringan dan kuarantin seperti yang diarahkan,” kata Mohd Redzuan, dipetik The Star hari ini.

Akhbar itu turut melaporkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin duduk selang tujuh kerusi dari Mustapa, sejauh 7 meter.

Saifuddin pula dilaporkan berkata menjalani kuarantin di rumah walaupun tidak mengalami sebarang gejala.

Beliau juga akan menjalani ujian calitan Covid-19, dan terus duduk di rumah sehingga keputusan ujian kedua dikeluarkan.

Mustapa dalam satu kenyataan media semalam mengesahkan beliau didapati positif selepas menjalani ujian saringan pada Sabtu.

Beliau dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu untuk pemantauan.

Mustapa menteri kedua selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19 pada Oktober lalu. Zulkefli kini bebas dari jangkitan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Sebagai langkah pencegahan, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta semua yang hadir semasa mesyuarat tersebut diarahkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Antara menteri yang hadir mesyuarat itu termasuk Mohd Radzi Md Jidin, Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Redzuan dan Ronald Kiandee. – 11 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen