Malaysia catat 2,433 kes baharu Covid-19, sembilan kematian


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 730 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2021.

MALAYSIA hari ini mencatatkan 2,433 kes baharu Covid-19 dengan sebahagian besar jangkitan berasal dari Selangor, Sabah dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 730 kes.

“Daripada jumlah tersebut, 510 kes adalah dari beberapa kluster dan pemeriksaan kontak rapat yang dilakukan.

“Ini diikuti Sabah dengan 403 kes dan Johor dengan 321 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata bahawa sembilan kematian baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 551 kematian.

Noor Hisham berkata, 1,277 kes pulih menjadikan jumlah pesakit yang sembuh menjadi 108,109 kes.

Katanya lagi, jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 135,992 termasuk 27,332 kes aktif.

“Daripada jumlah kes baharu, terdapat tujuh kes import sementara penularan tempatan adalah sebanyak 2,426 kes.

“Kes penularan tempatan mencatat 1,784 warga Malaysia dan 642 kes warga asing.”

Setakat ini, terdapat 171 kes positif yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana 76 kes memerlukan bantuan pernafasan. – 10 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen