Pelaksanaan PRU15 akan beri kesan buruk, kata pakar kesihatan


Pakar kesihatan berkata Malaysia tidak mampu mengadakan pilihan raya berskala besar semasa pandemik. – Gambar EPA, 10 Januari, 2021.

PELAKSANAAN pilihan raya umum ketika krisis kesihatan awam akan menyebabkan kesan yang sangat buruk, kata pakar kesihatan.

Ketua Eksekutif Galen Centre for Health & Social Policy Azrul Mohd Khalib berkata Malaysia tidak mampu mengadakan pilihan raya berskala besar semasa pandemik.

“Kesan dan pengajaran daripada pilihan raya negeri Sabah amat jelas.

“Berbulan selepas pilihan raya itu, kita masih lagi menerima kesannya dengan ribuan orang dijangkiti dan penularan dalam masyarakat.

“Ratusan kes dikesan jauh dari kemudahan kesihatan dan pihak kesihatan sukar mengesan, mengasingkan dan menjaga mereka yang dijangkiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang dikesan bermula pada hujung September dilihat tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

“Sejak beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan bukan saja mengumumkan rekod kes harian tertinggi tetapi turut memberi amaran tentang peningkatan jumlah kes kematian akibat virus ini.

“Keadaan ini dijangka lebih teruk 10 kali ganda selepas pilihan raya umum.”

Beliau berkata himpunan secara fizikal tetap akan diadakan dan SOP akan diabaikan dalam pilihan raya.

“Masih belum ada pilihan untuk pilihan raya pos. Ahli politik masih mahu dilihat berjabat tangan, berbual tanpa pelitup muka dan bertemu penyokong.

“Kerajaan juga menganggarkan RM1.2 bilion diperlukan untuk mengadakan pilihan raya ketika pandemik (PRU14 melibatkan kos RM500 juta).

“Ekonomi juga akan terkesan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang peningkatan kes jangkitan.
 
“Ratusan ribu penduduk mungkin akan perlu diasingkan dan dikuarantin manakalan ribuan lagi akan sakit teruk dan beratus lagi akan mati.”  – 10 Januari, 2021.

MENYUSUL
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen