PERJALANAN rentas negeri menjadi penyumbang peningkatan kes Covid-19 di Terengganu menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak.
Katanya sehingga semalam negeri itu mencatatkan sebanyak 216 kes positif dan daripada jumlah tersebut sebanyak 73.6% penyumbang adalah daripada individu yang datang dari zon merah di luar Terengganu.
“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sebelum ini telah meminta individu yang datang dari zon merah menjalani saringan Covid-19 dan ia mendapat maklum balas yang baik…daripada itu kita dapat mengesan ramai yang positif.
“Kebanyakan mereka yang datang (saringan) pada awalnya tidak mempunyai sebarang gejala Covid-19 tetapi keputusan akhirnya menunjukkan positif dan mereka kemudiannya ditempatkan di pusat kuarantin untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) (ILKKM) Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus. – Bernama, 10 Januari, 2021.
Komen