Korban Covid-19 di Jerman lepasi angka 40,000


Seorang petugas kesihatan mengambil sampel dari seorang individu untuk ujian saringan Covid-19 di Jerman.– Gambar EPA, 20 Mei, 2020.

ANGKA korban Covid-19 di Jerman melepasi jumlah 40,000 orang hari ini apabila 465 kematian baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Jumlah kematian kini mencapai 43,343 dengan keseluruhan lebih 1.9 juta penduduk dijangkiti virus itu.

Canselor Jerman Angela Merkel dalam satu mesej mingguan berkata rakyat negara itu perlu bersedia untuk berdepan fasa paling sukar pandemik itu apabila doktor dan staf perubatan semakin kepenatan.

Jerman berjaya menempuh gelombang pertama Covid-19 lebih baik berbanding negara Eropah lain tetapi terjejas teruk pada gelombang kedua.

Negara yang dihuni 83 juta penduduk itu telah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan bagi mengehadkan kontak sosial dan membantu hospital menangani peningkatan jumlah pesakit.

Lebih 5,000 pesakit Covid-19 kini ditempatkan di unit rawatan rapi di seluruh negara dengan 80% kapasiti unit itu telah digunakan.

Jerman juga menutup sekolah dan perkhidmatan yang tidak penting sehingga 31 Januari bagi mengekang penularan wabak itu.

Seperti negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain, Jerman mula melaksanakan pengambilan vaksin dalam kalangan rakyatnya pada hujung Disember lalu.

Lebih setengah juta penduduk negara itu kini telah mengambil vaksin keluaran Pfizer/BioNTech. – AFP, 10 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen