Afidavit dedah polis tidak berusaha sebaik mungkin cari anak Indira, kata peguam


Noel Achariam

M. Indira Gandhi masih tidak berputus asa untuk mencari anak perempuannya Prasana Diksa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2021.

POLIS hanya meletakkan usaha minimum dalam proses pencarian anak perempuan M. Indira Gandhi selama tempoh enam tahun, kata bekas peguam guru tadika tersebut berdasarkan afidavit.

Polis mendedahkan afidavit mereka setelah diperintah mahkamah dalam perbicaraan bulan lalu dalam usaha mereka mencari anak perempuan Indira Gandhi, Prasana Diksa.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata mereka telah menerima afidavit pada hari Khamis, yang merupakan hari terakhir penyerahan.

“Kekurangan butiran dalam afidavit menunjukkan bahawa tidak banyak usaha yang dilakukan mereka (polis) dalam usaha pencarian Prasana.

“Usaha minimum diperluas oleh polis berdasarkan fakta bahawa usaha tersebut berlaku pada enam tahun yang lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 17 Disember, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai usaha polis dalam mengesan bekas suami dan anak perempuan Indira seperti yang diperintahkan mahkamah pada 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh memberikan tempojh tiga minggu untuk jabatan yang mewakili polis itu mengemukakan 79 afidavit mengenai langkah-langkah yang diambil bagi mencari bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan Prasana.

Namun, polis telah mengabaikan perintah pengadilan yang dikeluarkan pada 2014 dan gagal mengemukakan apa-apa afidavit sejak 30 Mei 2014, baik ke pengadilan atau kepada pasukan peguam Indira.

Rajesh berkata pihak polis akan diambil tindakan oleh mahkamah sekiranya mereka gagal mengemukakan afidavit pada hari Khamis. 

“Kami telah meneliti afidavit dan tidak ada banyak perkara di dalamnya. Apa yang mereka (polis) katakan tidak kukuh.

“Contohnya sepanjang tahun 2017 mereka kata mereka cari Riduan. Tetapi, apa yang sebenarnya mereka lakukan?”

Rajesh turut berkata tidak ada perincian dan afidavit tersebut juga tidak jelas.

“Sekiranya mereka mematuhi perintah pengadilan (pada tahun 2014) untuk memberikan kemas kini bulanan, maka akan ada lebih banyak perincian.

“Tetapi, jelas kenyataan itu kekurangan perincian menunjukkan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa.”

Riduan, seorang mualaf Muslim, diperintahkan oleh mahkamah tinggi pada tahun 2014 untuk mengembalikan Prasana kepada ibunya. Namun, lelaki itu tidak mematuhi perintah tersebut, menyebabkan mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang memaksa polis menangkapnya.

Riduan merampas Prasana dan dua anak pasangan itu setelah dia mengislamkan mereka secara sepihak.

Mahkamah memberikan hak penjagaan tiga anak pasangan itu kepada Indira setelah mendapati penukaran agama mereka tidak sah. – 10 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen