Mutasi Covid-19 dari Britain kini merebak ke AS


Hampir 290,000 kes baharu direkodkan di AS dalam tempoh 24 jam lepas sehari selepas negara itu mencatatkan hampir 4,000 kematian. – Gambar AFP, 9 Januari, 2021.

VARIAN baharu Covid-19 kini merebak di lapan negeri di Amerika Syarikat (AS) ketika negara itu merekodkan kes jangkitan harian paling tinggi.

Mutasi varian B117 yang dikesan di Britain hujung tahun lalu, didapati lebih mudah berjangkit berbanding mutasi virus yang sedia ada.

Data daripada Pusat Kawalan Penyakit AS (CDC) menunjukkan bahawa mutasi virus yang dilaporkan buat kali pertama minggu lalu, dikesan di lapan negeri dengan California dan Florida paling terkesan.

Mutasi virus itu juga dikesan di Colorado, Texas, New York, Georgia, Connecticut dan Pennsylvania, melibatkan jumlah 63 kes.

Penularan B117 dan satu lagi mutasi virus dari Afrika Selatan dikenali B1351, mencetuskan kebimbangan mutasi yang sama akan muncul di AS.

Namun pegawai AS menafikan laporan bahawa mutasi baharu dikesan di negara itu.

Hampir 290,000 kes baharu direkodkan di AS dalam tempoh 24 jam lepas sehari selepas negara itu mencatatkan hampir 4,000 kematian. – AFP, 9 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen