CHINA mengesahkan bahawa persediaan masih dibuat untuk misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan siasatan punca Covid-19 di Wuhan selepas misi itu tertangguh lama.
Beijing mengeluarkan kenyataan itu selepas ketua WHO menyuarakan kekecewaan terhadap China yang masih belum memberi kebenaran menjalankan misi walaupun pasukan pakar yang dalam perjalanan ke bandar itu.
Timbalan Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan Zeng Yixin berkata masa untuk misi itu berjalan akan dimaklumkan dan China sedang bersedia.
“Selagi pakar terlibat menyempurnakan prosedur dan mengesahkan jadual mereka, kita akan ke Wuhan bersama-sama untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Awal minggu ini, pihak berkuasa China enggan mengesahkan butiran tentang misi itu yang berkali-kali tertangguh.
WHO sebelum ini juga berkata China memberi kebenaran untuk misi itu dijalankan melibatkan 10 orang pakar.
“Kita kini menunggu pakar WHO untuk tiba dan menyelaras kumpulan pakar yang sesuai untuk menyambut mereka,” tambah Zeng.
Beliau juga menyuarakan harapan agar siasatan WHO boleh memahami punca kewujudan virus itu. – AFP, 9 Januari, 2021.
Komen