KP Kesihatan bimbang penularan Covid-19 ke kawasan pendalaman


Kluster Pasai Siong yang melibatkan lapan rumah panjang dan kawasan berhampiran akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan selama dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2021.

PASAI Siong, sebuah kawasan luar bandar dekat Sibu Sarawak menjadi lokasi kluster utama Covid-10 di negeri itu dengan sebanyak 37 kes, lapor Borneo Post.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sibu Charles Siaw dilaporkan berkata Kluster Pasai Siong yang melibatkan lapan rumah panjang dan kawasan berhampiran akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan selama dua minggu.

Mulai esok juga tiada penerbangan masuk ke Sibu dari Johor Bahru dan Kota Kinabalu, sementara hanya dua penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur dibenarkan mendarat di bandar itu.

Siaw berkata kes baharu yang dicatatkan selepas seorang wanita yang baru pulang dari rumah panjang di Johor pada 29 Disember lalu dikesan positif Covid-19.

Kes wanita itu dilaporkan oleh pihak jawatankuasa pada 7 Januari lalu.

Wanita itu menaiki tiga penerbangan menerusi Firefly, Malaysia Airlines dan AirAsia, untuk pulang ke Sibu dari Johor melalui Kuala Lumpur dan Kuching.

Susulan itu, ujian saringan terhadap kontak rapat mengesan 36 lagi kes positif.

Berita tentang kluster Pasai Siong menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang memuat naik status di Twitter.

Beliau menyuarakan kebimbangan tentang penularan pandemik itu ke kawasan pendalaman.

“Ini yang kami paling bimbangkan di kawasan luar bandar dan kita perlu meningkatkan tahap kesihatan awam dan melindungi negeri, daerah dan masyarakat.

“Kesemua lapan rumah panjang di Pasai Siong dan kawasan berhampiran akan dikenakan perintah kawalan pergerakan selama 14 hari,” kata Dr Noor Hisham.

Dua hari lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak turut mengumumkan penularan Covid-19 di dua rumah panjang di Lubok Antu, sebuah kawasan pendalaman di daerah Sri Aman.

Dua rumah panjang itu turut dikenakan perintah kawalan pergerakan selama 14 hari. – 9 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen