Dr Noor Azmi nafi 'hilang', catatan di Facebook jadi bukti


Warga internet mempersoalkan keberadaan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali ketika negara berdepan lonjakan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2021.

DR Noor Azmi Ghazali menafikan cakap-cakap yang menuduh beliau menghilangkan diri, lapor New Straits Times.

Timbalan menteri kesihatan itu berkata orang ramai sepatutnya memeriksa akaun Facebook rasminya sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Saya tidak hilang. Adalah lebih baik jika mereka memeriksa platform media sosial juga. Sebagai contoh, saya sangat aktif di Facebook.

“Setiap pergerakan saya tercatat di situ, sama ada saya berada di kementerian atau di kawasan saya,” katanya.

Keberadaan Noor Azmi, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang menjadi bahan spekulasi media sosial baru-baru ini, susulan peningkatan kes Covid-19 yang berterusan setiap hari.

Semalam, Malaysia melaporkan 16 kematian dalam sehari yang berkaitan dengan Covid-19, dan juga mencatatkan jumlah pesakit tertinggi dalam unit rawatan rapi serta mereka yang memerlukan ventilator untuk bernafas.

Terdapat 2,643 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sebelumnya, lebih rendah berbanding rekod tertinggi 3,027 yang dicatatkan pada hari sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan dalam kemas kini hariannya.

Jumlah kematian akibat Covid-19 berjumlah 537 orang.

Kerajaan akan mengumumkan langkah baharu untuk membendung penyebaran wabak itu pada Isnin. – 9 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen