China perketat sekatan menjelang Tahun Baru Cina


Orang ramai memakai pelitup muka beratur sebelum menjalani ujian Covid-19 di sebuah hospital di Beijing, China, semalam. – Gambar EPA, 9 Januari, 2021.

DUA bandar raya di selatan Beijing melaksanakan sekatan lebih ketat pada Sabtu ketika pihak berkuasa berusaha untuk menghentikan kemunculan semula jangkitan.

China sebahagian besarnya berjaya menangani wabak domestik selepas koronavirus pertama kali muncul di Wuhan pada akhir 2019 - tetapi lonjakan kes di wilayah Hebei, yang bersempadan dengan Beijing, menyebabkan pengurungan baharu menjelang Tahun Baru Cina bulan depan.

Hebei melaporkan lebih 130 kes Covid-19 yang disahkan dalam seminggu lalu, dengan lebih 200 jangkitan asimtomatik.

Sebahagian besar kes berlaku di kota Shijiazhuang, yang mempunyai 11 juta penduduk. Beberapa jangkitan lain dilaporkan berlaku di bandar Xingtai dengan kejiranan 7 juta orang.

Shijiazhuang menghentikan operasi kereta api bawah tanah sejak pagi Sabtu untuk membantu “pencegahan dan kawalan wabak”, kata pihak berkuasa.

Lebuh raya utama menuju ke bandar, kira-kira 300km di selatan Beijing, ditutup dan perjalanan penumpang antara bandar dihentikan.

Xingtai pula mengumumkan arahan tinggal di rumah selama seminggu kepada penduduknya untuk mengekang wabak.

Sekatan menjelang Tahun Baru Cina, yang menyaksikan ratusan juta orang melakukan perjalanan di seluruh China untuk mengunjungi keluarga dan rakan taulan, dengan wakil menteri Suruhanjaya Kesihatan Nasional Zeng Yixin memberi amaran pada Sabtu perayaan itu “akan meningkatkan lagi risiko penularan.”

Pihak berkuasa bergegas melancarkan pemberian vaksin, dengan lebih 9 juta dos sudah diberikan setakat ini, tambah Zeng.

Baru-baru ini pihak berkuasa kesihatan memberikan persetujuan bersyarat kepada calon vaksin syarikat gergasi farmasi China, Sinopharm, dengan penggunaan suntikan kecemasan diberi pada hujung 2020. – AFP, 9 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen