Malaysia rekod kes kematian Covid-19 tertinggi


Chan Kok Leong

Seramai 537 kematian dilaporkan akibat Covid-19 apabila 16 kes kematian baharu dilaporkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

MALAYSIA mencatatkan rekod terburuk dalam memerangi pandemik Covid-19 hari ini apabila melaporkan 16 kematian baharu.

Jumlah kematian tertinggi sebelum ini adalah 12 orang pada 3 November 2020.

Dengan jumlah tambahan seramai 16 orang, jumlah kematian Covid-19 kini seramai 537 orang, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah kematian berkenaan, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi seramai sembilan orang diikuti Sabah (4) dan Johor (3).

Mangsa termuda adalah seorang lelaki berusia 43 tahun dari Johor yang mempunyai sejarah penyakit diabetes tekanan darah tinggi dan obesiti manakala yang tertua adalah seorang lelaki berusia 79 tahun dari Selangor dengan sejarah diabetes tekanan darah tinggi dan masalah jantung. 

Menurut KKM, tiga kematian hari ini meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital. Kes-kes ini dibawa ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan (1) dan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu (2).

Kematian lain pula dicatatkan di hospital di Selangor, Sabah dan Johor.

Selangor pula melaporkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 1,068 (41.1%) daripada jumlah jangkitan baharu hari ini iaitu 2,643.

Jumlah kumulatif Covid-19 kini berjumlah 131,108. Selepas 2,708 kes pulih baharu direkodkan, jumlah kes aktif di negara ini kini berjumlah 25,140.

Antara kes baharu, 1,666 (63%) adalah rakyat Malaysia sementara 975 bukan warganegara.

Hanya dua daripada 2,643 kes baharu adalah kes import.

Di Selangor, 904 (83.2%) kes baharu di negeri ini dikesan dari kluster dan pemeriksaan kontak rapat.

Selepas Selangor, Sabah mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi iaitu 401 (15.2%) diikuti oleh Johor dengan 298 (11.3%).

Berbanding hari sebelum ini, hanya 79 (3%) kes baharu dikesan dari kluster lokap, tahanan dan penjara. – 8 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen