Tunggu pengumuman PM Isnin, kata Ismail Sabri


Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata langkah pelaksanaan PKP masih lagi sedang dibincangkan dan masih diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2020.

LANGKAH kawalan baharu untuk menangani Covid-19 akan diumumkan perdana menteri pada Isnin, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulas saranan oleh Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasa kawalan bersasar di kawasan jangkitan termasuk kawalan lebih ketat di sempadan negeri.

Jelasnya, langkah untuk kawalan tersebut masih lagi sedang dibincangkan oleh Majlis Keselamatan Negara serta jawatankuasa teknikal dan masih diteruskan.

“Ini termasuk mempertimbangkan SOP yang lebih ketat dilaksanakan terutamanya yang melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Insya-Allah satu pengumuman akan dibuat oleh perdana menteri dalam masa terdekat bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai langkah kawalan itu, beliau berkata ia akan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

“Jadi kita tunggulah pengumuman itu nanti dan kita bersedialah. Kalau saya terlampau panjang cerita hari ini, tak perlu tunggu Isnin,” katanya dalam sidang media harian yang disiar langsung.

Ismail juga berkata beliau maklum dengan saranan kawalan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah namun perkara itu masih dibincangkan.

Dr Noor Hisham pada Rabu mengumumkan kementerian itu sedang meneliti strategi baharu termasuk melaksana kawalan bersasar untuk negeri di zon merah dan hijau.

Katanya, kawalan lebih ketat boleh dikenakan di kawasan negeri zon merah dan juga tindakan bersasar mengikut kluster di negeri terlibat, selain memperketat kawalan pergerakan rentas negeri.

Jelasnya, langkah memutuskan rantaian jangkitan itu penting untuk menurunkan kadar jangkitan dari jumlah sekitar 2,000 sehari pada waktu itu kepada 200 sehari supaya dapat dikawal.

Dr Noor Hisham juga mengakui kementerian kini terbeban dengan masalah logistik dan sumber manusia, menyebabkan pesakit lewat dibawa ke pusat rawatan.

Kementerian itu juga mengunjurkan peningkatan sehingga 8,000 kes sehari menjelang Mac sekiranya tiada langkah baharu diambil.

Malaysia merekodkan 3,027 kes jangkitan baharu Covid-19 semalam, 24 jam selepas mencatat rekod baharu 2,593 kes harian.

Ia menjadikan jumlah 25,221 kes aktif dengan 142 daripadanya di unit rawatan rapi dan 63 memerlukan bantuan pernafasan. – 8 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen