Guan Eng selar Muhyiddin gagal kawal situasi Covid-19


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata alasan remeh Malaysia tidak mampu bayar RM2.1 bilion untuk membeli vaksin yang sangat diperlukan tidak dapat diterima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya perlu bertanggungjawab penuh kerana gagal dalam mengawal peningkatan jangkitan Covid-19, kata Lim Guan Eng.

“Bukan setakat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menteri kesihatan, tetapi seluruh Kabinet harus bertanggungjawab, terutama kerana hilang kawalan terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 dan kelewatan mendapatkan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya kegagalan membeli vaksin lebih awal tidak dapat dimaafkan dan boleh mengakibatkan kehilangan lebih banyak nyawa secara sia-sia.

“Alasan remeh bahawa Malaysia tidak mampu membayar sejumlah wang kecil sebanyak RM2.1 bilion untuk membeli vaksin yang sangat diperlukan tidak dapat diterima.

“Malaysia pasti mampu membiayai bukan hanya RM2.1 bilion tetapi RM5 bilion patut tersedia dalam krisis kecemasan seperti ini.

“Pada masa ketika Singapura memperoleh penghantaran dan memulakan proses vaksinasi besar-besaran, Malaysia masih perlu menunggu 2 bulan lagi,” kata bekas menteri kewangan. 

Beliau berkata kegagalan ini dapat dilihat dengan peningkatan jangkitan Covid-19, apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini meramalkan bahawa kes jangkitan boleh mencapai 8,000 setiap hari seawal Mac.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata kebimbangan itu juga mempengaruhi keyakinan pelabur sehingga Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menasihati warganya meninggalkan Malaysia. 

“Adakah Muhyiddin akan terus berdiam diri dan tidak akan mengambil tanggungjawab atas kegagalan Kabinetnya, ketika dia pernah mengambil kredit sebelum ini kerana menguruskan krisis Covid-19 dengan baik?,” katanya.

Lim juga berkata Umno seperti mengambil peranan sebagai pembangkang dalam mengkritik kerajaan tetapi memegang jawatan kerajaan mereka.

“Sekiranya Umno adalah parti yang berprinsip, mereka pasti sudah meninggalkan kerajaan. Atau Muhyiddin akan memecat Umno daripada kerajaannya kerana melawan kerajaan.

“Namun, hakikat bahawa Umno masih kekal dalam kerajaan menunjukkan dengan jelas fakta bahawa Muhyiddin telah kehilangan majoriti parlimennya dan memerlukan Umno demi mengekalkan pegangan kuasanya yang lemah,” katanya. – 8 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen