PUTRAJAYA perlu menangani peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia dengan menganalisis data dan strategi komunikasi lebih baik, kata Centre for Market Education (CME).
Kerajaan tidak seharusnya bertindak tergesa-gesa dan memulakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali lagi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua CME Dr Carmelo Ferlito berkata terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan PKP lagi.
“Kajian ilmiah terbaharu menunjukkan tiada hubung kait antara langkah sekatan drakonian dengan membendung penyebaran Covid-19,” katanya.
Semalam, Malaysia mencatat rekod baharu bagi jangkitan harian Covid-19 dengan 3,027 kes.
Ia mengatasi jumlah mereka yang pulih sebanyak 2,145 dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 128,465.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga meramalkan, berdasarkan kadar jangkitan pada 1:1, akan terdapat 3,000 kes setiap hari pada pertengahan Februari.
Ferlito berkata kerajaan harus memberikan maklumat terkini berterusan mengenai data Covid-19 dan berkomunikasi dengan betul. Tujuan data juga adalah perlu untuk melindungi kumpulan yang paling berisiko.
“Tiada gunanya mengurung seluruh rakyat bagi kesan yang besar dan dramatik. Subjek yang lebih berisiko perlu diberitahu dan dibantu dalam melindungi diri mereka sendiri.”
CME mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memindahkan kes asimtomatik dan ringan kepada rawatan di rumah.
Ini katanya, adalah untuk mengelakkan bebanan terhadap sistem kesihatan dan mengakibatkan kluster yang tidak perlu.
Kesan daripada beberapa negara yang melaksanakan langkah pengurungan juga adalah pelbagai sehingga mustahil untuk dikenalpasti jika hanya sekatan pergerakan sahaja dapat menghentikan penyebaran virus, katanya.
“Jika polisi yang sama menghasilkan hasil berbeza dalam konteks yang berbeza, ini bermaksud faktor utama di sebalik hasilnya juga berbeza.
“Adalah perlu untuk mengelakkan langkah yang akan membahayakan nyawa manusia di bawah pelbagai perspektif tanpa memperoleh hasil penting dalam memerangi Covid-19.
“Kerajaan harus fokus pada analisis data dan publisiti yang lebih baik, strategi komunikasi dan mengukuhkan kajian.”
Ferlito berkata analisis data sangat penting dalam mengenal pasti punca masalah. – 8 Januari, 2021.
Komen