PUTRAJAYA digesa menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan ekonomi terjejas teruk, kata sekumpulan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Mereka, yang terdiri daripada dua bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri, juga percaya keseluruhan sistem pengesanan kontak perlu diperbaiki.
“Kami percaya kerajaan perlu mempertimbangkan pandangan ramai pakar perubatan supaya melakukan ujian saringan secara besar-besaran, bermula dengan semua kawasan yang berisiko tinggi seperti asrama tempat tinggal pekerja asing, penjara dan penduduk yang tinggal berdekatan dengan mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan ditandatangani oleh Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas menteri kesihatan); Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng dan bekas timbalan menteri kesihatan); Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri dan bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud dan bekas timbalan menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
Mereka berkata, menurut jawapan Parlimen, kerajaan berkemampuan untuk melakukan ujian saringan PCR sebanyak 19,489 sehari manakala sektor swasta mampu melakukan sehingga 59,485 ujian saringan bagi tempoh yang sama.
Ini menunjukkan hampir 80,000 ujian saringan PCR mampu dilakukan dalam sehari, tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun, jika kos ujian saringan ini terlalu tinggi bagi Putrajaya, kerajaan boleh memilih untuk menggunakan ujian saringan Antigen RTK yang lebih murah dan cepat.
“Namun jika kita mempertikaikan kos ujian saringan ini yang terlalu tinggi, kita boleh menggunakan ujian saringan Antigen RTK kerana ianya lebih murah dan cepat, dan dikatakan lebih sesuai untuk ujian saringan secara besar-besaran.
“Bagaimanapun, kita sudah tentu berkemampuan dan mempunyai kapasiti untuk melakukan ujian saringan besar-besaran ke kawasan yang disasarkan.”
Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan banyak kes positif adalah tidak simptomatik (80%), ujian saringan besar-besaran sangat penting bagi membolehkan pengasingan awal dapat dilakukan dan mencegah penyebaran di luar kawalan dalam masyarakat.
Lebih banyak ujian saringan akan bermakna peningkatan jumlah kes positif, kata empat ahli Parlimen berkenaan.
“Namun, ini bukan masanya kita menyembunyikan kepala ke dalam pasir. Kita mesti berdepan dengannya, cari semua kes positif di kalangan kita dan asingkannya.”
Selain itu, mereka juga menggesa kerajaan memperbaiki keseluruhan sistem sistem pengesanan kontak yang diguna pakai sekarang ini.
“MySejathera, seperti yang dilaporkan, hanya mampu mengesan 4% daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia, dan ini menunjukkan yang kerajaan masih lagi bergantung kepada pengesanan kontak secara manual, iaitu dengan bertanya kepada pesakit positif siapa kontak rapat mereka dan kemudiannya melakukan ujian saringan.”
Kerajaan, kata mereka, belum sepenuhnya memanfaatkan analisis data raya dengan menggunakan data yang dikumpulkan melalui MySejahtera dan digabungkan dengan data lain yang terdapat dalam sistem kerajaan termasuk data terbuka di media sosial.
“Kita mesti terus berinovasi dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan dan kemenangan sebelum ini.
“Malaysia telah lama mengatasi China, punca pandemik global, dengan 125,000 kes dengan lebih daripada 515 kematian.” – 8 Januari, 2021.
Komen