KEMENTERIAN Pendidikan perlu segera memaklumkan rancangannya untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bakal diadakan bulan depan tidak terjejas susulan peningkatan kes Covid-19, kata Rajiv Rishyakaran.
Beliau berkata pelajar dan ibu bapa berada dalam kekaburan mengenai bagaimana peperiksaan penting itu akan dilaksanakan.
“Dengan peningkatan rekod jumlah kes Covid-19 setiap hari, bagaimana SPM 2020 akan diadakan?
“Apa mekanisme yang ada untuk memastikan setiap pelajar bersedia dan dapat menduduki peperiksaan dengan selamat? Hampir 400,000 pelajar menduduki SPM setiap tahun,” kata Adun Bukit Gasing hari ini.
Beliau bertanya sama ada kementerian memerlukan pelajar yang menduduki SPM, dan guru pengawas menjalani ujian Covid-19 wajib sebelum peperiksaan.
“Adakah pelajar dan guru pengawas akan dikuarantin sejak awal hingga akhir tempoh peperiksaan, untuk mengelakkan jangkitan daripada mengganggu peperiksaan?
“Apakah ada rancangan pembasmian kuman dan tempoh atau rancangan kuarantin jika seorang pelajar atau pengawas dijangkiti apabila peperiksaan dimulakan?”
Beliau juga bertanya apakah peperiksaan akan ditangguhkan di seluruh negara jika ada kawasan yang di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan kerana virus.
Beliau seterusnya mempersoalkan apakah pihak sekolah bersedia mengendalikan pelajar yang masuk dan keluar dari dewan peperiksaan sambil menjaga penjarakan sosial.
“Ini adalah isu dan persoalan yang perlu dijawab oleh Kementerian Pendidikan sekarang agar pelajar, ibu bapa dan guru dapat melakukan apa yang diperlukan terlebih dahulu dan bersiap,” katanya dalam satu kenyataan.
Rajiv juga berkata jika percubaan SPM digunakan sebagai kayu ukur, 15% sekolah yang berada di zon merah masih belum boleh menjalankan peperiksaan mereka, dan sekolah sudah menyelesaikannya perlu menjalani beberapa peperiksaan dalam talian.
“Saya mendesak kementerian agar keluar dengan mekanisme dan SOP untuk SPM 2020 dan apakah rancangan sokongan sekiranya peperiksaan terpaksa ditangguhkan lagi.
“Kementerian mempunyai banyak masa untuk mengkaji situasi dan menyusun rancangan komprehensif untuk SPM 2020 dan tidak boleh berdiam lagi,” katanya
SPM 2020 sudah dua kali ditangguhkan setakat ini kerana pandemik dan peningkatan jumlah kes Covid-19. Ia dijadualkan bermula pada 22 Februari.
Sekolah pula dijadualkan dibuka semula akhir bulan ini, walaupun perintah pergerakan pemulihan yang dikenakan di seluruh negara dilanjutkan hingga 31 Mac 2021. – 8 Januari, 2021.
Komen