Jumlah kes Covid-19 di Sepanyol lebih 2 juta


Kementerian Kesihatan Sepanyol semalam umum 42,360 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 48 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini 2,024,904 kes. – Gambar AFP, 8 Januari, 2021.

JUMLAH kes Covid-19 di Sepanyol kini melepasi 2 juta, menurut data rasmi dikeluarkan kerajaan semalam.

Kementerian Kesihatan negara itu semalam umum 42,360 kes baharu dalam tempoh 48 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 2,024,904 kes.

“Jumlah keseluruhan yang disahkan melebihi 2 juta hari ini (semalam),” kata timbalan unit kecemasan di Kementerian Kesihatan, Maria Jose Serra.

“Nampaknya kita sedang melihat peningkatan kes. Sebelum ini berkurang, tetapi sekarang naik semula dalam gelombang ketiga.”

Dalam tempoh 48 jam yang lalu juga, sebanyak 245 kematian baharu dilaporkan, menjadikan seramai 51,675 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di Sepanyol sehingga kini.

Pada 21 Oktober lalu Sepanyol jadi negara Eropah pertama merekodkan sejuta kes Covid-19. Pada pertengahan Disember, kajian menunjukkan kira-kira 4.7 juta penduduk telah dijangkiti Covid-19, bersamaan 10% daripada populasi negara itu.

Walaupun kes Covid-19 melonjak, kerajaan Sepanyol bagaimanapun tidak bercadang untuk melaksanakan perintah berkurung baharu. – AFP, 8 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen