Brisbane laksana langkah pengurungan selepas strain virus UK dikesan


Penumpang daripada penerbangan pertama tiba di Brisbane pada 1 Disember 2020, selepas berbulan sekatan rentas sempadan dikenakan bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar EPA, 8 Januari, 2021.

BANDAR Brisbane di Australia melaksanakan langkah pengurungan selama tiga hari selepas pekerja di sebuah hotel kuarantin dijangkiti strain Covid-19 UK yang sangat mudah berjangkit.

Sejak petang Jumaat, lebih 2 juta penduduk di kawasan Greater Brisbane tidak dibenarkan keluar rumah, kata pihak berkuasa.

“Jika kita ingin menghentikan penyebaran penyakit berjangkit, strain UK ini, kita mesti bertindak segera,” kata Perdana Menteri Queensland Annastacia Palaszczuk kepada media.

Varian, yang pertama kali mencetuskan amaran di UK bulan lalu, nampaknya lebih mudah berjangkit berbanding strain Covid-19 yang sebelum ini dikesan di Australia.

Dipercayai, kes virus tersebut disebarkan kepada seorang tukang cuci daripada seorang pengembara yang pulang di hotel kuarantin itu.

Langkah pengurungan itu menandakan sekatan semula sejak Mac, dengan penduduk diarah tinggal di rumah dan memakai pelitup muka ketika keluar bagi tujuan penting sahaja.

Queensland tidak mencatat kes baharu penularan komuniti pada Jumaat, tetapi Perdana Menteri Australia Scott Morrison menyambut baik langkah itu, menegaskan perlunya bertindak lebih awal untuk menghentikan penularan daripada terus merebak.

Sebelum pengumuman itu, Brisbane adalah antara beberapa bandar raya di Australia yang menikmati kembali hidup secara normal semasa musim panas lalu.

Tetapi wabak baru-baru ini di Sydney dan Melbourne memaksa rentas negeri diketatkan ketika tekanan semakin meningkat agar pemberian vaksin disegerakan.

Pada Khamis, Morrison mengumumkan rancangan pelaksanaan vaksin dipercepatkan beberapa minggu - kini dijadualkan bermula pada Februari.

Australia mencatatkan lebih 28,500 kes Covid-19 dan 909 kematian berkaitan virus di negara yang mempunyai kira-kira 25 juta penduduk ini. – AFP, 8 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen