DR Mahathir Mohamad hari ini menasihatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin letak jawatan susulan pergolakan yang sedang berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bekas perdana menteri berkata beliau sebelum ini telah memberi amaran kepada Muhyiddin banyak masalah akan timbul jika Bersatu menjalinkan kerjasama dengan Umno, tetapi tidak dipedulikan.
“Yang payahnya bila kita nasihat depa tak mahu dengar, nak buat juga. Itulah jadi masalah.
“Jadi nasihat yang paling baik sekarang kamu nampak tak begitu kukuh. Letak jawatanlah,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir ketika bersama Bersatu menentang keras cadangan Muhyiddin yang juga presiden untuk membawa parti keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan bentuk kerajaan dengan Umno.
Banyak masalah akan timbul kerana Bersatu hanya sebuah parti yang kecil jika dibandingkan dengan Umno, tetapi Muhyiddin memberi jaminan semuanya akan dapat diuruskan, katanya.
“Saya sudah jangkakan pada masa itu.
“Saya beritahu Muhyiddin kamu akan hadapi masalah kerana kamu parti kecil. Kalau Umno tarik balik sokongan, habislah. Tapi dia kata boleh uruskan, Jadi kita tengoklah bagaimana dia nak uruskan.”
Pada masa yang sama Dr Mahathir menyelar kerajaan PN yang terlalu sibuk berpolitik sehingga mengabaikan khidmat kepada rakyat.
“Ini adalah kerajaan paling tidak stabil dalam sejarah Malaysia. Dulu kita punya majoriti dua pertiga, sekarang ini cuma dua orang saja.
“Jadi ini menyebabkan kerajaan ini tidak boleh tumpu kepada pemerintahan, sebaliknya sepanjang masa digunakan untuk pertahankan diri supaya tak jatuh,” katanya.
Hubungan Umno dan Bersatu tegang sejak awal penubuhan kerajaan PN, malah memuncak dari bulan ke bulan terutamanya sejak pertengahan Oktober lalu.
Umno mendakwa pimpinan kanannya diketepikan dalam pelantikan anggota Jemaah Menteri dan tidak pula diberikan portfolio kementerian yang berhubung secara langsung dengan rakyat.
Umno kemudian enggan menyertai PN yang dibentuk oleh Bersatu dan PAS serta dua parti di Sabah. Umno sebaliknya mahu mengukuhkan Muafakat Nasional, kerjasama yang dijalinnya dengan PAS pada September 2019 atas nama penyatuan ummah.
Pada Oktober lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa ada sokongan “kukuh dan menyakinkan” termasuk daripada kalangan Umno untuk membentuk kerajaan menggantikan Muhyiddin. Biro Politik Umno kemudian mendesak Bersatu untuk merundingkan semula syarat kerjasama politik mereka. – 7 Januari, 2021.
Komen