3,027 kes baharu Covid-19, 8 kematian 


Seorang wanita memakai pelitup muka ketika keluar membeli barangan keperluan harian di Kota Kinabalu, Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

MALAYSIA mencatatkan kes baharu harian Covid-19 yang tertinggi untuk dua hari berturut-turut apabila 3,027 lagi kes dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata Kementerian Kesihatan.

Semalam Malaysia merekodkan 2,593 kes jangkitan baharu yang merupakan kes tertinggi dalam sehari sejak permulaan pandemik di negara ini setahun lalu.

Jumlah kes baharu itu melepasi jumlah kes pulih 2,145 dan menjadikan jumlah kumulatif kes 128,465.

Daripada kes baharu yang direkodkan, hanya enam merupakan kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter hari ini.

Lapan kematian turut dilaporkan hari ini menyebabkan kes kematian meningkat kepada 521.

Kini sebanyak 25,221 kes aktif Covid-19 direkodkan yang mana 142 dirawat di unit rawatan rapi dan 63 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes pulih kini 102,723 atau hampir 80% daripada kes keseluruhan.

Dr Noor Hisham turut menyiarkan carta di Twitter yang menunjukkan ramalan kes harian sekiranya kadar jangkitan atau R-naught (RO) kekal pada 1:1.

Semalam, beliau berkata RO Malaysia meningkat kepada 1:1 dan usaha untuk mengurangkan kepada 0:5 tidak berjaya.

Carta yang disiarkan di Twitter menunjukkan pada R0 1:1, Malaysia akan merekodkan kira-kira 3,000 kes setiap hari menjelang minggu kedua Februari, 5,000 kes menjelang minggu kedua April dan 9,000 kes pada akhir Mei.   – 7 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen