Kes Covid-19 boleh naik lebih 3,000 sehari, kata bekas timbalan menteri


Sekurang-kurangnya 10,000 orang perlu dikerah segera untuk membantu mengesan kontrak rapat Covid-19, kata bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

JUMLAH kes harian akan melepasi angka 3,000 sehari sebelum pertengahan Januari sekiranya kadar jangkitan tidak dikurangkan segera, kata bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau mengeluarkan amaran itu selepas negara mencatat rekod baharu peningkatan kes kepada 2,593 orang semalam, dengan keseluruhan 24,347 kes aktif dalam rawatan.

“Sistem jagaan kesihatan di sektor awam di tahap genting kerana tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit yang kian meningkat.

“Pasukan kesihatan awam juga menghadapi cabaran dan tidak lagi mampu untuk mengesan, menguji dan mengasingkan kontak rapat yang begitu ramai.

“Jumlah kes harian akan melepasi 3000 sehari sebelum pertengahan bulan Januari 2021,” katanya.

Lee seterusnya mengulangi gesaan agar kerahan segera dibuat untuk membantu mengesan kontrak rapat Covid-19, kata bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Katanya, sekurang-kurangnya 10,000 orang petugas diperlukan untuk memastikan setiap kontrak rapat diurus dalam 48 jam untuk mengurangkan kadar jangkitan.

“(Kerajaan perlu) tetapkan sasaran supaya setiap kontak rapat dikesan, diuji dan diasingkan dalam masa 48 jam.

“Ini akan menyekat penularan virus seterusnya dan mengurangkan jumlah kes harian dan kebolehjangkitan (R0).

“Ini boleh dilakukan melalui penambahan 10,000 anggota tambahan yang terdiri dari anak muda dalam kesihatan awam serta merta untuk pengesanan kontak,” katanya.

Jelas beliau, kekuatan tersebut boleh dikerah melalui kerjasama dengan pemimpin masyaratkat seperti ketua kampung dan ahli majlis kerajaan tempatan.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat selama dua minggu di kawasan bersasar dalam jangkitan komuniti.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 meningkat ke paras bahaya sejak September lalu di Selangor, negeri yang mencatat jumlah kes paling tinggi dalam negara.

Kadar itu terus naik apabila kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara, termasuk di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Sehingga semalam, hanya tinggal tujuh daerah di semenanjung yang masih dikategori sebagai zon hijau tanpa sebarang kes jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham semalam mengakui kementerian dibebankan dengan masalah logistik dan sumber manusia, menyebabkan pesakit lewat dibawa ke pusat rawatan.

Menurutnya, kementerian juga mungkin perlu membuka lebih banyak wad Covid-19 dan menambah katil wad unit rawatan rapi.

Katanya, jumlah kes baharu perlu diturunkan dari 2,000 kepada 200 supaya jangkitan boleh dikawal dengan lebih baik.

Beliau berkata perbincangan sedang dibuat melibatkan strategi berbeza untuk kawalan jangkitan di kawasan di zon merah dan kawasan dengan jangkitan kes lebih rendah.

– 7 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen