KERAJAAN perlu memastikan Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-AG) mudah diperoleh dan dijual pada harga berpatutan, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.
Beliau berkata ini bagi menggalakkan lebih ramai mengambil ujian Covid-19.
“Ini akan menyebabkan lebih banyak kes dapat dikesan, penularan dapat dikawal dan secara keseluruhan membantu negara ini dalam melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rajiv berkata penting untuk kit ujian itu mudah diperoleh di Malaysia susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang meminta individu mahu melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 secara sukarela, sebelum keluar dari kawasan zon merah.
“Walaupun nasihat itu cukup baik, tetapi adakah RTK-AG mudah dan murah untuk rakyat Malaysia?
“Kerajaan menerusi Perkeso memberikan kit ujian RTK-Ag secara percuma di klinik panel bagi menyaring pekerja warga asing. Majikan terbabit hanya perlu membayar caj perkhidmatan klinik bernilai RM35 ke atas.
“Jika klinik panel dapat kit ujian itu secara percuma dari kerajaan untuk menyaring pekerja warga asing, perkara sama patut diberikan kepada semua rakyat Malaysia.
“Ini sangat tidak adil kepada rakyat Malaysia yang juga mahu atau perlu disaring, terutama jika bagi tujuan melakukan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata kit ujian diberikan kepada klinik sepatutnya mudah diperoleh orang awam, bagi mengurangkan bebas kos kepada rakyat.
Malaysia semalam melaporkan jumlah kes jangkitan harian tertinggi setakat ini iaitu 2,593 kes baharu.
Ia menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan 125,438 kes sementara kes aktif 24,347.
Selangor masih mendahului dengan 965 kes, diikuti Johor dan Sabah dengan masing-masing 571 dan 405 kes jangkitan. – 7 Januari, 2021.
Komen