Ireland arah tutup sekolah susulan lonjakan kes baharu Covid-19


Ireland memulakan program vaksinasi pada 29 Disember lalu dan sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19. – Gambar EPA, 7 Januari, 2021.

SEKOLAH di Ireland akan ditutup sepanjang bulan ini ketika “tsunami jangkitan” dijangka membebankan perkhidmatan kesihatan, kata kerajaan pada Rabu.

“Kita hanya perlu menahan lonjakan ini,” kata Perdana Menteri Micheal Martin kepada wartawan di Dublin, mengumumkan beberapa sekatan baharu koronavirus.

Bagi Januari, sekolah akan ditutup dengan pengecualian terhad hanya untuk pelajar pendidikan khas dan mereka bakal menghadapi peperiksaan.

Semua pembinaan juga akan dihentikan sehingga Februari, selain sebilangan kecil projek yang dikecualikan seperti kerja baik pulih dan perumahan sosial.

Martin berkata hospital di Ireland “berada dalam keadaan terkepung akibat penyakit ini” dan “kini berdepan tsunami jangkitan”.

“Pengurungan yang kami perkenalkan hari ini dirancang bagi mencerminkan realiti itu,” tambahnya.

“Kecuali jika anda terlibat dalam pekerjaan yang sangat penting, anda tidak mempunyai alasan untuk berada jauh dari rumah anda, dan anda mesti tinggal di rumah.”

Ireland kini berdepan gelombang ketiga serangan virus dengan kedai tidak penting, bar dan pub ditutup, serta penduduk diminta bekerja dari rumah.

Angka rasmi terkini menunjukkan 2,282 meninggal dunia akibat virus.

Pada Isnin, kementerian kesihatan mengumumkan 6,110 jangkitan baharu harian tertinggi.

Sebelumnya pada Rabu, ketua perkhidmatan kesihatan kebangsaan Ireland berkata terdapat 921 pesakit di hospital - lebih banyak berbanding gelombang pertama jangkitan pada awal 2020.

“Kita berdepan keadaan lebih teruk pada Januari - gelombang ketiga yang mungkin jauh lebih buruk daripada yang pertama,” kata timbalan perdana menteri Leo Varadkar.

“Hospital dan (unit rawatan rapi) yang tidak mengalami gelombang pertama berdepan risiko serius sehingga akhir bulan ini.”

Kerajaan juga mengumumkan larangan perjalanan dari Britain akan berakhir pada Sabtu.

Bagaimanapun, semua kemasukan perlu mengemukakan ujian negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam terakhir. – AFP, 7 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen