PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tiba di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Petaling Jaya pada pukul 8.25 malam ini bagi mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Mesyuarat tersebut dijangka membincangkan isu politik semasa negara.
Antara perkara lain dijangka yang akan dibincangkan termasuk hubungan kerjasama dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum.
Turut kelihatan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Negeri (BPN) Selangor yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamad Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah (Pahang), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof dan timbalan presiden parti tersebut Ahmad Faizal Azumu.
Turut hadir Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun, Naib Ketua Srikandi Bersatu Mas Ermieyati Samsudin, Naib Presiden Dr Ronald Kiandee serta Ketua Penerangan Parti Wan Saiful Wan Jan. – Bernama, 6 Januari, 2021.
Komen