KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang menimbang untuk melaksanakan strategi baharu secara bersasar dalam usaha menangani peningkatan kes Covid-19 di negara ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan juga semakin bertambah, menunjukkan strategi untuk mengekang wabak Covid-19 ketika ini mungkin tidak lagi berkesan.
KKM juga katanya menghadapi masalah logistik dan kekurangan kakitangan, yang menyebabkan kelewatan untuk membawa pesakit ke pusat rawatan.
Menurut Dr Noor Hisham, KKM perlu menilai semula strategi mana yang lebih berkesan untuk mengurangkan kes.
“Kita akan ubah strategi, lebih kepada pendekatan bersasar,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata KKM mungkin antara lain akan meningkatkan kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan membuka lebih banyak wad Covid-19.
“Kita juga akan teliti bagaimana untuk meningkatkan sistem kesihatan.”
Peningkatan kes harian juga katanya telah menyebabkan aktiviti intervensi kesihatan awam tertangguh.
Antara strategi lain yang sedang diteliti untuk membendung penularan Covid-19 termasuklah kawalan sempadan serta melindungi golongan rentan dan zon hijau.
Selain itu, Dr Noor Hisham juga menggesa masyarakat patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang wabak. – 6 Januari, 2021.
Komen