Sekatan pergerakan akan kurangkan jangkitan Covid-19, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Walaupun kes baharu tidak mencecah 4,000 sehari, namun kadar nilai kebolehjangkitan masih belum di bawah 0.5, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar EPA, 6 Januari, 2021.

SEKATAN pergerakan (circuit breaker) perlu untuk mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, ketika negara terus mencatatkan pertambahan kes.

“Kita perlukan sekatan pergerakan untuk mengurangkan kes dari 2,000 kepada 200 kes sebelum situasi lebih terkawal,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata langkah ini perlu untuk membendung penularan, dan pada masa yang sama Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyusun strategi serta meneliti langkah-langkah baharu untuk menangani pertambahan jumlah pesakit.

KKM katanya menjangkakan kes positif akan meningkat dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi susulan cuti panjang sempena Tahun Baru dan larangan rentas negeri dilonggarkan sejak 7 Disember lalu.

Tambah beliau, walaupun kes baharu tidak mencecah 4,000 sehari, namun kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) masih belum di bawah 0.5.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) pula hampir penuh, kata Dr Noor Hisham.

“Apabila jumlah pesakit bertambah, sudah tentu kualiti rawatan juga kurang memuaskan.

“Beberapa PKRC melaporkan masalah berkenaan makanan, perkhidmatan dan kebesihan.

“Ini satu tempoh yang mencabar untuk KKM, untuk menangani jumlah pesakit yang ramai. Kita sedang bekerja rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain,” jelasnya.

Perbicangan katanya masih diteruskan, dan pihak berkuasa sedang mencari penyelesaian terbaik supaya situasi lebih terkawal.

Malaysia hari ini mencatat rekod baharu angka harian Covid-19 dengan 2,593 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia kini 125,438, dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 24,347. – 6 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen