MALAYSIA hari ini melaporkan 13 kluster baharu Covid-19 dalam sehari, yang mana ia merupakan yang tertinggi sejak pandemik bermula.
Jumlah itu menjadikan kluster aktif di negara ini 252.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 10 kluster yang dilaporkan hari ini dikaitkan dengan tempat kerja.
Kebanyakan kluster tempat kerja dikesan susulan ujian saringan bersasar yang dijalankan di setiap premis terlibat.
Kluster Persiaran Teknologi (25 kes), Firma (45 kes), Bersepadu (21 kes) dan Padu (17 kes) merupakan kluster tempat kerja yang dikesan di Johor.
Sementara kluster Jalan Seputeh di Lembah Pantai , Kuala Lumpur dikesan susulan ujian saringan bersasar yang dijalankan di restoran. Kluster berkenaan melaporkan 18 kes.
Selain kluster Jalan Seputeh, Kuala Lumpur turut melaporkan dua kluster tempat kerja iaitu kluster Ikan Emas di Cheras dan Kayuh di Titiwangsa, Kepong dan juga kawasan Lembah Pantai.
Kluster ikan emas melaporkan 35 kes manakala kluster Kayuh merekodkan 11 jangkitan.
Di Selangor, pihak berkuasa mengesan dua kluster tempat kerja dikenali sebagai Dataran Utas dan Casa Permai masing-masing melaporkan 66 dan 109 kes.
Kluster Kampung Pintas di Kalabakan dan Tawau, Sabah yang merupakan kluster ke sepuluh dilaporkan hari ini, merekodkan 72 kes.
Kluster lain yang dilaporkan hari ini adalah Anak Air di Melaka dan Tasik Utama di Negeri Sembilan dan Selangor. Dua kluster dikesan menerusi pesakit indeks bergejala.
Kluster Medan Jasa yang melaporkan 64 kes berasal dari pesakit indeks yang mengalami Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
Kes dari kluster ini merebak ke Kuala Kangsar di Perak dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.
Noor Hisham turut mengumumkan tiga kluster kini tidak aktif susulan tempoh pengawasan 28 hari tamat.
Tiga kluster terbabit adalah Kobena, Mengketil dan UD SS2.– 6 Januari, 2021.
Komen