MALAYSIA hari ini mencatat rekod baharu kes harian Covid-19 dengan 2,593 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu, sejak pandemik itu melanda negara.
Jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini mengatasi rekod yang dicatatkan pada 31 Disember lalu iaitu 2,335 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia kini 125,438, dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 24,347.
Katanya, Selangor masih mencatat angka harian tertinggi sebanyak 965 kes, diikuti Johor (571) dan Sabah (405).
Sementara itu, sebanyak empat kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 di negara ini 513 orang.
Dr Noor Hisham berkata kluster membabitkan lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara menyumbang 81 kes baharu hari ini.
Beliau juga memaklumkan seramai 1,129 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 100,578 kes.
Dalam pada itu, seramai 141 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya. – 6 Januari, 2021.
Komen