ANNUAR Musa berkata pemecatannya sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan di saluran yang betul, iaitu majlis tertinggi BN.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata keputusan untuk melantik atau memecatnya tidak seharusnya dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi atas kapasitinya sebagai presiden Umno, tetapi pengerusi BN.
“Saya terima keputusan Zahid memecat saya sebagai setiausaha agung BN dan saya ucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya berkhidmat dalam gabungan ini.
“Namun, beliau (Zahid) perlu memecat saya dalam mesyuarat BN kerana sebarang pelantikan atau pemecatan perlu sebulat suara dalam kalangan parti komponen.
“Ya, Zahid, presiden Umno dan pengerusi BN jadi, saya cadangkan beliau pecat saya sekali lagi bila mesyuarat BN diadakan,” katanya, yang juga menteri Wilayah Persekutuan kepada wartawan pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Semalam, dilaporkan BN memecat Annuar daripada jawatan setiausaha agung, selepas pandangannya didapati tidak selari dengan kepimpinan gabungan itu, kata sumber.
Zahid mengumumkan keputusan itu semalam pada perhimpunan ketua bahagian Umno.
Dalam reaksi segera, parti komponen BN, MCA berkata ia tidak dimaklumkan berkenaan pemecatan Annuar.
Kepimpinan parti tidak dimaklumkan atau diajak berunding dan hanya mengetahui tentang perkara itu menerusi laporan media, kata MCA dalam satu kenyataan. – 6 Januari, 2021.
Komen