AMERIKA Syarikat (AS) memecahkan rekodnya sendiri dalam jumlah kematian harian akibat Covid-19 pada Selasa, dengan 3,936 kematian dalam tempoh 24 jam, menurut data dikeluarkan oleh Universiti Johns Hopkins.
Negara paling teruk dilanda wabak ini juga mencatatkan 250,173 kes baru dalam tempoh sehingga jam 8.30 malam Selasa (0130 GMT Rabu), menurut catatan universiti yang berpusat di Baltimore.
Ia menjadikan AS mempunyai lebih 21 juta kes dan 357,067 kematian secara keseluruhan sejak bermulanya wabak ini.
Jumlah yang dirawat di hospital juga berada di tahap tertinggi sejak awal wabak ini, dengan lebih 131,000 pesakit Covid-19, menurut data daripada Covid Tracking Project.
Keadaan juga sangat teruk di selatan dan barat negara ini.
Pekerja ambulans Los Angeles diarah berhenti membawa beberapa pesakit yang mempunyai peluang selamat yang sangat rendah ke hospital, dan mengehadkan penggunaan oksigen, kerana kes Covid menelan banyak sumber perubatan.
Rekod kematian harian sebelum ini berlaku enam hari lalu, dengan lebih 3,920 kematian.
AS mengalami lonjakan kes luar biasa dalam beberapa bulan terakhir. Sejak akhir November, jumlah kematian harian meningkat secara mendadak, kebiasaannya melebihi 2,000 dan sering mencatatkan 3,000 kematian setiap hari.
Diramalkan kenaikan susulan perkumpulan semasa musim cuti dijangka akan memburukkan lagi keadaan.
AS bergantung pada kempen vaksinasi, yang dimulai pada pertengahan Disember, untuk mengatasi wabak ini.
Tetapi kurang 2% penduduknya setakat ini berjaya diberi vaksin dengan 4.8 juta orang menerima suntikan pertama. – AFP, 6 Januari, 2021.
Komen