AMNESTY International pada Rabu menggesa Israel memberikan suntikan vaksin koronavirus kepada rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki, dengan berkata ia wajib melakukannya berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat, yang menjadi kediaman kira-kira 2.8 juta penduduk Palestin, belum secara terbuka meminta bantuan Israel dalam pemerolehan vaksin.
Hamas, yang menguasai Semenanjung Gaza, menempatkan kira-kira 2 juta penduduk Palestin, tidak mungkin bekerjasama secara terbuka dengan Israel dalam usaha vaksinasi.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi yang berpangkalan di UK, Amnesty berkata Israel perlu “berhenti mengabaikan kewajiban antarabangsa sebagai kuasa penjajah dan segera bertindak memastikan vaksin Covid-19 diberikan secara adil dan saksama kepada rakyat Palestin yang tinggal di bawah penjajahannya di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.”
PA berkata penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza akan diberi vaksin melalui program Covax yang disokong oleh PBB.
Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin berkata pihaknya akan menerima dos vaksin pertama bulan depan melalui Covax.
Israel mula melaksanakan pemberian vaksin kepada warganya, termasuk peneroka Israel di Tebing Barat, pada 19 Disember, bermula dengan petugas perubatan dan mereka yang berusia lebih 60-an.
Setakat ini, seramai lebih sejuta orang sudah menerima suntikan vaksin.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pada Sabtu beliau berharap dalam tempoh sebulan seramai 2.25 juta rakyat Israel - seperempat daripada populasi 9 juta - akan menerima dua suntikan dari Pfizer-BioNTech yang diperlukan untuk kesan yang optimum.
Setakat Selasa, Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan 451,000 kes virus sejak wabak itu muncul, dengan lebih 3,400 kematian.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan lebih 100,000 kes di Tebing Barat, termasuk 1,100 kematian.
Di Gaza, terdapat 43,134 kes, dengan 404 kematian.
Israel menduduki Tebing Barat dan Jalur Gaza dalam Perang Enam Hari 1967.
Israel sejak itu menarik diri dari Gaza tetapi mengekalkan sekatan ketat di semenanjung tersebut, yang menurutnya perlu untuk mengekang Hamas.
PA berkata sudah menghubungi pembekal vaksin yang berpotensi, tetapi kementerian kesihatannya berkata akan mengalami kesukaran penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech dalam suhu diperlukan. – AFP, 6 Januari, 2021.
Komen