ANUGERAH Grammy yang dijadualkan pada 31 Januari di Los Angeles ditangguhkan hingga Mac kerana Covid-19, yang tersebar dengan cepat di California.
Recording Academy tidak segera menjawab pertanyaan AFP tetapi mengemas kini senarai acara di laman sesawangnya, menetapkan tarikh acara baharu sebagai 21 Mac.
Penundaan upacara tahunan ke-63 itu dibuat kurang sebulan sebelum ia sepatutnya berlangsung dalam keadaan pandemik, yang memberi kesan dahsyat kepada industri muzik.
Organisasi itu berkata acara yang ditetapkan untuk akhir Januari itu kebanyakannya bersifat maya, tetapi belum mengeluarkan rancangannya secara spesifik.
Beyonce, Dua Lipa, Taylor Swift dan rapper Roddy Ricch adalah calon terkenal bagi anugerah itu. Pelawak Trevor Noah akan menjadi pengacara acara 2021, dan tidak jelas apakah ia masih dikekalkan.
Pencalonan dilancarkan akhir tahun lalu oleh bintang di seluruh dunia yang bercakap melalui sembang video.
Acara anugerah lain, seperti Emmy dan Latin Grammys, terpaksa diadakan secara maya sebahagian atau sepenuhnya memandangkan sekatan pandemik terhadap himpunan besar.
Sementara itu Oscar dijadualkan berlangsung pada 25 April, lapan minggu lebih lewat dari yang dijadualkan sebelum ini.
Los Angeles kini menjadi salah satu pusat pandemik koronavirus, dengan hospital mengalami kesesakan kes dan penduduk dikenakan arahan tinggal di rumah.
Lonjakan kes di California selatan adalah susulan Thanksgiving dan musim cuti, dengan laporan catuan oksigen dan pesakit terpaksa menghabiskan masa berjam lamanya menunggu dalam ambulans sebelum dipindahkan ke wad. – AFP, 6 Januari, 2021.
Komen