Khairy, Adham kongsi maklumat vaksin dengan PAC


Ragananthini Vethasalam

Mengenai sama ada pendedahan perincian kontrak akan dianggap melanggar NDA, Khairy berkata, ini tidak akan berlaku kerana PAC adalah sebahagian daripada kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Januari, 2021.

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini berkongsi perincian mengenai perjanjian vaksin Covid-19 Putrajaya dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum Parlimen (PAC).

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba turut hadir dalam sesi tersebut di mana kedua menteri bercakap tentang harga vaksin.

Khairy berkata, demi ketelusan, mereka memutuskan untuk mendedahkan sebanyak mungkin maklumat.

“Dalam keterangan saya, saya menjelaskan perincian kontrak dengan Pfizer dan AstraZeneca kepada PAC,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan dengan jawatankuasa bipartisan.

Beliau mengakui kebimbangan masyarakat mengenai perjanjian yang terikat dengan perjanjian tanpa pendedahan (NDA).

Mengenai sama ada pendedahan perincian kontrak akan dianggap melanggar NDA, Khairy berkata, ini tidak akan berlaku kerana PAC adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Maklumat istimewa itu disampaikan kepada pegawai kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu, ketua PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan berasingan berkata, jawatankuasa itu berpuas hati dengan keterangan kedua-dua menteri, dan juga oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Prosiding itu sejajar dengan harapan PAC bagi memastikan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan membawa bermanfaat kepada rakyat,” kata Wong.

“Secara umum, NDA tidak boleh menghalang tugas dan peranan PAC.

“Dalam hal ini, PAC akan menyeimbangkan peranannya dengan membuat pemeriksaan perundangan dalam klausa NDA supaya tidak ada pelanggaran syarat-syarat perjanjian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk memvaksinkan pekerja asing dan ekspatriat.

“Prinsipnya mudah, kita perlu memvaksin pekerja asing bagi memastikan mereka selamat untuk memastikan  kita juga selamat.

“Lebih ramai orang yang divaksin, lebih selamatlah kita, katalah kita hanya memvaksin rakyat kita tapi kita tak memvaksin warga asing, ia tidak banyak membantu kerana kita tidak akan mencapai keimunan kelompok,” katanya.

Perincian mengenai penerima vaksin dan jadual pemvaksinan akan diputuskan dalam pertemuan bersama antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri, dan Kementerian Luar Negeri, tambahnya.

Putrajaya telah memperuntukkan RM2.05 bilion (AS#504.4 juta) untuk pembelian vaksin untuk 82.8% populasi rakyat Malaysia bagi mengekang koronavirus.

Putrajaya telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer, AstraZeneca serta Covax, dan kini sedang berunding dengan Sinovac dan CanSinoBIO China, dan Gamaleya National Centre dari Rusia untuk tambahan pembelian vaksin. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen