PKPD di Apartment Amber Court, Pusat Pemulihan Akhlak Muar dilanjutkan


Keputusan itu dibuat selepas selepas menerima nasihat dan penilaian risiko oleh KKM mengenai situasi di kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court di Jalan Genting, Bentong yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi sehingga 20 Januari ini. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ujian saringan kedua masih perlu dijalankan kepada sebahagian kontak rapat dan terdapat risiko jangkitan yang tinggi di lokaliti terbabit.

“Sehingga kini 1,180 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan dan daripada jumlah itu 454 kes positif direkodkan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini. 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor yang dijadualkan berakhir esok dilanjutkan sehingga 20 Januari selepas menerima nasihat dan penilaian risiko oleh KKM mengenai situasi di kawasan itu. 

“KKM telah menjalankan 827 ujian saringan Covid-19 di kawasan ini dan sehingga kini 40 kes positif direkodkan. KKM juga sahkan masih terdapat pertambahan kes positif harian yang direkodkan dan baki 38 sampel saringan masih menunggu keputusan,” katanya. – Bernama, 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen