VAKSIN Pfizer-BioNTech Covid-19 akan diedarkan di kawasan bandar sementara vaksin AstraZeneca akan dibekalkan ke kawasan luar bandar, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata penetapan itu dibuat kerana vaksin Pfizer perlu disimpan dalam suhu yang sangat sejuk sementara vaksin AstraZeneca boleh disimpan dalam peti ais biasa.
Oleh itu katanya sebanyak 55 lokasi sudah dikenal pasti sebagai tempat penyimpanan vaksin Pfizer.
Khairy mendedahkan bahawa perjanjian pembelian vaksin Pfizer termasuk penghantaran sementara AstraZeneca tidak termasuk penghantaran.
Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mengenai kos vaksin.
Pertemuan itu turut disertai Menteri Kesihatan Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kerajaan akan mengeluarkan RM16.6 juta untuk mendapatkan peti sejuk beku dengan suhu sangat rendah dan bekalan perubatan berkaitan. Peti sejuk beku berharga antara RM70,000 dan RM80,000 seunit.
Khairy berkata vaksin akan diberikan secara sukarela dan pendaftaran akan disediakan pada aplikasi MySejahtera.
Putrajaya telah menyediakan dana sebanyak RM2.05 bilion (AS$504.4 juta) untuk pemerolehan vaksin Covid-19 bagi menyuntik 82.8% penduduk.
Kos tersebut merangkumi perjanjian yang ditandatangani dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca serta tiga tawaran lain masih belum dimuktamadkan.
Putrajaya juga dalam perbincangan dengan Sinovac dan CanSinoBIO yang berpangkalan di China serta Pusat Nasional Gamaleya Rusia untuk pemerolehan vaksin. – 5 Januari, 2020.
Komen