Ahli Umno diarah letak jawatan kerajaan Perikatan?


Zaim Ibrahim

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan enggan mengesahkan berita mengenai arahan ahli Parlimen parti itu meletakkan jawatan dalam Kabinet PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

UMNO enggan mengesahkan sama ada para ahlinya diarah meletak jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat hari ini.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sekadar berkata, dakwaan berkenaan yang dilaporkan media hari ini hanya akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti esok.

Pada masa sama, beliau bagaimanapun mengesahkan mesyuarat para ketua bahagian itu memutuskan menolak kerjasama dengan seteru parti tersebut, DAP.

“Ketua-ketua bahagian Umno menolak kerjasama dengan DAP dan akan perkukuh kerjasama dengan PAS dan parti lain seperti GPS.

“Apa juga yang diputuskan dalam mesyuarat ketua bahagian hari ini termasuk laporan media yang mengatakan Ahmad Zahid Hamidi arah ahli Umno letak jawatan dalam kerajaan PN akan dimuktamad dalam meyuarat Majlis Tertinggi,” katanya.

Arahan untuk meletak jawatan dalam kerajaan PN itu dilaporkan beberapa media sebagai tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar pilihan raya umum diadakan segera.

Ahmad bercakap kepada pemberita di bangunan ibu pejabat parti tersebut di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pertemuan para ketua bahagian Umno dengan Zahid.

Ahmad ditanya mengenai laporan di portal Suara TV yang mendakwa, Ahmad Zahid mengarahkan ahli parlimen Umno meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari.

Umno dan parti PN terutamanya Bersatu mula bertelagah selepas kedua-dua parti itu membentuk kerajaan pada Februari. 

Umno kemudian menolak tawaran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyertai PN dan meminta Bersatu bergabung dengan Muafakat Nasional (MN). 

Ketegangan dalam beberapa bulan terakhir meningkat apabila pemimpin Umno mendakwa parti itu diketepikan dalam kerajaan dan juga dakwaan Bersatu menyogok ahli Umno untuk lompat parti.

Seramai 143 daripada 191 ketua bahagian Umno kini bersetuju dengan usul menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, yang diakui presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan hujung minggu lalu, Zahid juga berjanji menyokong MN dan tidak akan menjadi sebahagian daripada PN walaupun bersetuju membentuk majlis presiden dengan parti lain.

Katanya, Majlis Tertinggi akan bermesyuarat esok bagi memutuskan usul dari majoriti ketua bahagian yang menolak kerjasama dalam PN.

Beliau berharap keputusan itu akan diterima seluruh ahli parti terutama 38 ahli Parlimen Umno dan parti dalam kerajaan. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen