KHAIRY Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sebagai menteri sekiranya majlis tertinggi partinya, Umno mengarahkan berbuat demikian.
Ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini, Khairy berkata beliau terikat dengan arahan parti dan akan mematuhinya jika diputuskan sedemikian.
“Jika keputusan dibuat, saya sebagai ahli parti terikat dengan parti saya.
“Jika parti putuskan di Majlis Tertinggi, yang merupakan badan membuat keputusan tertinggi dan mengarahkan saya berundur, saya sedia ikut keputusan.”
Beliau mengulas laporan yang mendakwa presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan ahli Umno meletak jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Ia dilaporkan sebagai usaha menekan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pilihan raya umum segera.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan enggan mengesahkan arahan itu dan menjelaskan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi malam esok.
Mengulas mengenai pelucutan jawatan Annuar Musa sebagai setiausaha agung BN, Khairy berkata ia merupakan hak pengerusi gabungan itu Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, sumber mengesahkan kepada The Malaysian Insight mengenai pemecatan Annuar, yang berulang kali bergeser dengan para pemimpin parti.
Menurut sumber tersebut, keputusan itu dimaklumkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno kepada menteri Wilayah Persekutuan itu hari ini.
“Beliau dipecat hari ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi sumber berkata Annuar dikenakan tindakan itu kerana tidak menepati prinsip parti dan dilihat lebih berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.
Susulan itu, timbul desakan agar Annuar dipecat seperti disuarakan Umno Bahagian Pasir Puteh yang mendakwa bekas ahli Parlimen Ketereh itu tidak menghormati dan mendahului presiden parti.
Usul itu dicadangkan oleh Ketua Pemuda Umno Pasir Puteh Muhammad Saifullah Ali pada mesyuarat perwakilan bahagian itu pada Sabtu.
Cadangan itu muncul selepas Annuar menegur Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi berhubung pergelutan parti itu dengan PAS dalam merundingkan kerusia pilihan raya umum akan datang.
Tindakan Annuar yang lebih mempertahankan PN berbanding Umno dalam beberapa isu juga mencetuskan kemarahan pemimpin Umno seperti Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi. – 5 Januari, 2021.
Komen