RIBUAN orang berbaris di Beijing pada Isnin untuk menerima vaksin Covid-19 ketika China bergegas untuk memastikan jutaan rakyatnya disuntuk sebelum cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari.
Lebih 73,000 orang di ibu negara China menerima dos pertama vaksin sejak beberapa hari lalu, lapor media negeri pada Ahad, termasuk petugas komuniti dan pemandu bas.
Pihak berkuasa kesihatan pada malam tahun baharu memberikan persetujuan “bersyarat” kepada calon vaksin yang dibangunkan oleh syarikat gergasi farmasi China, Sinopharm, yang menurut syarikat itu memiliki kadar keberkesanan 79%.
Seorang wartawan AFP melihat orang ramai dibawa ke pusat vaksin sementara di taman pusat, selepas diarahkan mengisi borang elektronik mengenai status kesihatan mereka dan sebarang alahan di pagar luar.
Ada yang memakai pelitup muka dua lapisan.
Lelaki yang memberikan namanya sebagai Gu, seorang pekerja katering berusia 30-an, berkata kepada AFP majikannya sudah membuat janji temu vaksin di pusat itu, dan beliau menginginkan suntikan itu “untuk ketenangan jiwa.”
“Saya yakin sebarang kesan buruk akan dapat dikawal,” katanya.
Rakaman daripada penyiar CCTV negeri menunjukkan barisan di luar hospital tempatan dan pusat kesihatan masyarakat ketika orang ramai menunggu untuk membaca borang persetujuan dan suhu diambil sebelum mendapatkan suntikan.
Pegawai kesihatan berkata gimnasium dan kilang kosong adalah antara pusat yang digunakan untuk program vaksinasi.
China merancang memberi vaksin kepada jutaan rakyatnya dalam musim sejuk ini menjelang Tahun Baharu Cina pada pertengahan Februari.
Beijing sudah memberikan sekitar 4.5 juta dos vaksin kecemasan yang sebahagian besarnya belum terbukti tahun ini - kebanyakannya kepada petugas kesihatan dan pegawai negeri lain yang diarahkan bagi tugasan di luar negara, menurut pihak berkuasa.
Tetapi China kini merancang pemberian vaksin secara beransur-ansur bermula dengan kumpulan utama yang dianggap berisiko tinggi terkena virus, termasuk pekerja logistik pelabuhan dan makanan dan mereka yang merancang untuk kembali belajar ke luar negara.
China yang menjadi pusat koronavirus pertama kali muncul pada akhir 2019, secara berjaya mengekang virus dengan memperkenalkan sekatan segera dan ujian secara besar-besaran ketika kes muncul.
Tetapi negara itu meningkatkan ujian dan kawalan pergerakan selepas beberapa wabal tempatan baru-baru ini, termasuk beberapa kes di Beijing. – AFP, 5 Januari, 2021.
Komen