SPRM ada rampas dokumen, kata Prasarana


Mohd Farhan Darwis

Prasarana bagaimanapun menegaskan kedatangan penyiasat agensi anti rasuah tersebut bukan satu bentuk serbuan sama sekali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2021.

KETIBAAN penyiasat agensi antirasuah ke pejabat Prasarana Malaysia Bhd hari ini bukan untuk membuat serbuan, kata seorang pegawai syarikat tersebut.

Timbalan Ketua Komunikasi dan Pegawai Pemasaran Prasarana, Rafizah Amran bagaimanapun mengakui penyiasat terbabit merampas beberapa dokumen.

“Ia bukan serbuan tetapi mereka datang meminta penjelasan untuk melakukan siasatan susulan berita negatif yang dilaporkan oleh media, kita berbesar hati membantu dalam siasatan.

“Buat masa ini tiada siapa yang ditahan atau komputer riba yang disita. 

“Hanya ada beberapa dokumen yang mereka bawa balik, disebabkan ada beberapa tuduhan daripada individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat Prasarana petang ini.

Siasatan itu berlangsung ketika Prasarana dirundung beberapa isu, antaranya dakwaan konflik kepentingan melibatkan pengerusinya Tajuddin Abdul Rahman dalam satu kontrak.

Tuduhan itu dinafikan Tajuddin yang mendakwa, tiada konflik kepentingan kerana syarikat terbabit mendapat kontrak sewaktu beliau masih belum dilantik menjadi pengerusi Prasarana.

Siasatan juga dikaitkan dengan arahan bercuti dan seterusnya penggantungan tugas presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Nizam Alias

Menurut Tajuddin, arahan itu dibuat atas dakwaan salah laku dan keingkaran Nizam.

Turut menjadi perhatian, isu penangguhan bayaran kepada kontraktor kecil untuk projek LRT.

Tajuddin menafikan bayaran tersebut ditangguhkan dan menyalahkan kontraktor utama MRCB-George Kent kerana perjanjian dengan kontraktor kecil itu masih belum ditandatangani. – 4 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen