RUNGUTAN syarikat yang mendakwa tidak dibayar untuk projek LRT3 berpunca tekanan kontraktor utamanya, dakwa Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd Tajuddin Abdul Rahman.
Katanya, firma MRCB-George Kent bertanggungjawab apabila kontraktor kecil tidak mendapat bayaran kerana masih belum menandatangani perjanjian dengan kontraktor utama itu.
Selain itu, MRCB-George Kent juga cuba mengecilkan nilai kontrak terlibat, kata Tajuddin dalam sidang media hari ini selepas pejabat Prasarana diserbu agensi antirasuah.
“Saya terima banyak rungutan kerja sudah buat dekat setahun tapi belum tandatangan kontrak lagi. Sebahagian mereka kontraktor Bumiputera.
“Saya sebagai pengerusi takkan nak duduk diam dan benarkan benda itu berlaku, dari segi menandatangani perjanjian kontrak baru dengan kontraktor utama dilewatkan,” kata Tajuddin.
Beliau juga mengakui mencampuri perkara itu kerana melihat tindakan MRCB-George Kent tidak adil kepada kontraktor terbabit.
“Nilai kontrak mereka juga cuba nak diubah, nak dikecilkan supaya mereka siapkan kerja dengan kos rendah.
“Ini tidak adil kepada sub kontraktor, takkan saya sebagai pengerusi nak duduk diam, saya mesti masuk campur,” tegasnya.
Jelasnya, subkontraktor yang dilantik itu sebelum ini sudah menandatangani perjanjian dengan Prasarana namun mereka perlu menandatangani kontrak baru dengan MRCB-George Kent.
Katanya, perjanjian baharu perlu ditandatangani selepas MRCB-George Kent dilantik sebagai kontraktor utama.
Beliau berkata demikian bagi menafikan Prasarana, salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menangguhkan bayaran kepada kontraktor terlibat dalam projek LRT3.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, sehingga Oktober tahun lalu, Prasarana membayar sejumlah RM3.468 bilion kepada kontraktor utama MRCB-Gorge Kent.
Jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan RM11 bilion jumlah projek, katanya dalam sidang media hari ini.
“Kita dah bayar, bukan amaun kecil. Setiap kali mereka buat tuntutan kita bayar, kita tidak banyak kira.
“Yang masih tertangguh kemudian, bayaran kita hingga 2 Oktober, mana ada tangguh sampai enam hingga tujuhu bulan, atau setahun,” kata Tajuddin.
Tambahnya MRCB-George Kent sebagai kontraktor utama juga bertanggungjawab membayar kepada subkontraktor dan firma terlibat dalam projek tersebut.
Pada masa sama beliau juga menuduh MRCB-George Kent mengarahkan kontraktor kecil terbabit membuat aduan mengenai bayaran yang didakwa ditangguhkan.
“Mereka kontraktor besar, yang menjalankan projek RM11bilion. Mereka mesti ada modal untuk bayar kerja yang dijalankan subkontraktor.
“Ini dia tiada duit dia suruh kontraktor buat rungutan ke sana sini,” katanya lagi dalam sidang media hari ini.
Tajuddin menjelaskan, Prasarana juga tidak mempunyai hasil yang besar dan hanya bergantung kepada bon dan penerbitan sukuk.
Menurutnya, syarikat juga harus menjaga aliran tunai daripada defisit yang akan merisikokan mereka.
Beliau mengulas laporan memetik pengurusan tertinggi 17 kontraktor dan firma perunding yang terlibat dalam projek LRT3 yang meminta bantuan kerajaan.
Syarikat itu didakwa menuntut bayaran lebih RM700 juta untuk kerja yang dilakukan sejak Julai hingga Disember dan jumlah ini dijangka mencecah RM1 bilion bulan ini.
Tuntutan itu dilaporkan dinyatakan dalam surat kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong. – 4 Januari, 2021.
Komen