TIADA sebarang konflik kepentingan dalam kontrak yang diperolehi sebuah syarikat Tindakan Juara, kata Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd Tajuddin Abdul Rahman.
Tegasnya, ia tidak melibatkan sebarang konflik kepentingan kerana kontrak dianugerahkan sebelum beliau dilantik ke jawatan tersebut.
Konflik kepentingan hanya akan berlaku jika syarikat yang dikaitkan dengannya itu mendapat kontrak selepas beliau dilantik menjadi pengerusi Prasarana, katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pegangannya dalam syarikat Tindakan Juara yang mempunyai kepentingan dalam dalam syarikat Detik Utuh.
Seterusnya, Detik Utuh pula mendapat kontrak melalui Intan Sekitar yang dilantik Prasarana sebagai rakan pemaju bersama Prasarana Integrated Development Bhd, katanya.
“Inilah yang saya ada kepentingan di situ. Secara efektif, Tindakan Juara hanya mempunyai 20% kepentingan projek.
“Kita sudah menang tender terbuka dengan tawaran tertinggi, saya tak kenal waktu itu pengurusan Prasarana. Waktu itu saya bukan pengerusi di sini.
“Kalau sekarang saya diberikan projek memanglah salah, konflik kepentingan, salah guna kuasa,” kata ahli Parlimen Pasir Salak itu lagi.
Tajuddin juga menafikan dakwaan beliau meminta Prasarana menamatkan kontrak Intan Sekitar dan membayar pampasan RM80 juta bagi pembinaan projek terlibat.
Jelasnya, arahan penamatan projek itu setentunya akan memberi keuntungan kepadanya sebagai individu yang bekepentingan.
“Kayalah saya macam itu, tidak ada lembaga pengarah buat keputusan macam itu,” kata Tajuddin lagi,” katanya.
Jelasnya, keputusan membabitkan pembangunan di atas stesen LRT Dang Wangi di Kuala Lumpur itu melibatkan keputusan sama ada untuk menjadikannya pejabat baharu Prasarana.
“Tapi tidak ada perbincangan untuk tamatkan kontraktor atau pemaju dan bayar RM80 juta. Ini tuduhan tak betul.
“Lembaga pengarah belum buat keputusan, kami sedang cari jalan bagaimana projek boleh diselamatkan dan untungkan kedua belah pihak, baik Prasarana dan Intan Sekitar,” katanya.
Tambahnya, jumlah RM80 juta yang disebut-sebut itu pula merupakan amaun yang sudah dibelanjakan syarikat untuk projek berkenaan.
“RM80 juta itu amaun yang mereka dah belanja, kalau tanya saya projek ini boleh diselamatkan cuma faktor masa,” kata Tajuddin.
Tambahnya, Prasarana mensasarkan pulangan RM220 juta daripada nilai RM1.1bilion nilai akhir projek pembangunan bercampur dinamakan Latitud 8 itu.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di pejabat Prasarana di ibu negara hari ini selepas premis tersebut dikunjungi penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Prasarana menegaskan ia bukan satu bentuk serbuan tetapi mengakui beberapa dokumen dirampas.
Siasatan itu juga dijalankan selepas ketua pengarah operasi yang juga presiden Prasarana Nizam Alias diarah bercuti dan kemudian digantung tugas sejak 9 Disember.
Tajuddin mendakwa, ia dibuat kerana Nizam terlibat dengan salah laku dan keingkaran. – 4 Januari, 2021.
Komen