ANGKA kematian Covid-19 melepasi angka 500 hari ini selepas tujuh kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata bahawa Sabah melaporkan tiga kematian sementara Johor melaporkan dua kes.
Beliau berkata, Selangor dan Pahang masing-masing melaporkan satu kematian.
Katanya, mangsa termuda adalah seorang lelaki berusia 45 tahun sementara yang tertua adalah seorang wanita berusia 83 tahun.
Beliau berkata bahawa kematian terbaru itu telah menjadikan jumlah kematian keseluruhan di Malaysia menjadi 501 orang.
Sementara itu, sebanyak 1,741 kes baharu dicatatkan hari ini.
Katanya, kes baharu yang dicatatkan menjadikan jumlah kes meningkat kepada 120,818 sementara kes aktif kini berjumlah 22,089.
Tambahnya lagi, Selangor melaporkan 687 kes, diikuti Sabah dengan 303 kes. Sementara Johor menyaksikan jumlah kes ketiga tertinggi hari ini sebanyak 295.
Dr Noor Hisham berkata, hanya lapan kes import dilaporkan hari ini.
Kumpulan penjara dan pusat tahanan, sebaliknya, menyumbang 32 kes.
Selain itu, pihak berkuasa juga turut menemui lima kluster jangkitan baharu.
Berhubung kes pulih, Noor Hisham berkata, 1,010 orang pesakit dibenarkan pulang dalam tempoh 24 jam lalu.
Dengan jumlah tersebut, kes pulih Covid-19 secara keseluruhan kini berjumlah 98,228.
Ketika ini, 122 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) menempatkan 53 orang yang terpaksa dibantu alat sokongan pernafasan. – 4 Januari, 2021.

Komen