KESATUAN Eropah bersedia membantu syarikat ubat memperluas pengeluaran vaksin koronavirus untuk mengurangkan “kesesakan” dalam proses pengedaran, kata pegawai kesihatan utamanya semalam.
Pesuruhjaya Kesihatan Stella Kyriakides memberitahu agensi berita Jerman DPA bahawa setiap kelewatan bagi mendapatkan vaksin yang diluluskan adalah disebabkan oleh kekurangan kapasiti pengeluaran, bukan perancangan EU.
“Kesulitan ketika ini bukanlah pada jumlah pesanan tetapi kekurangan kapasiti pengeluaran di seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan yang diedarkan oleh pejabatnya.
Kyriakides berkata bahawa Brussels sudah memberikan 100 juta euro kepada firma Jerman BioNTech yang mengembangkan vaksin dengan syarikat gergasi AS Pfizer bagi membantu meningkatkan kemampuan pengeluaran.
“Situasi akan bertambah baik selangkah demi selangkah,” beliau berjanji selepas seminggu vaksinasi bermula dengan langkah yang sangat berbeza di antara negara-negara anggota EU.
“Kami sudah lama berunding untuk mendapatkan dos vaksin tambahan daripada BioNTech untuk waktu yang lama dan sekali lagi bersedia untuk membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Pengilang lain yang mempunyai kontrak dengan kami akan memastikan vaksin mereka diluluskan oleh EU,” katanya.
Agensi Ubat Eropah menasihati Suruhanjaya Eropah untuk meluluskan vaksin Pfizer-BioNtech pada 21 Disember. – AFP, 3 Januari, 2021.
Komen